2018-08-03

Sajak-Sajak Underground: Tentang Pertentangan

TENTANG PERTENTANGAN

Malam ini aku mahu selesaikan
Sebuah puisi tentang pertentangan
Meskipun kitaran musim
Tidak lagi membawa angin rindu
Atau kicau burung di tengah kota
Tapi langit dan lautan
Masih tetap menyerap kata-kata

Di sini sehelai kertas putih
Sebatang pena dan dakwat hitam
Akan menterjemahkan segalanya
Biarkan sahaja aku di sini
Meniti satu persatu detik malam
Dalam keresahan yang panjang

Walau nafas-nafas di sudut kota
Mulai berbau bara
Walau harga luka melayang-layang
Di atas telunjuk dunia
Biarkan sahaja
Kerana hujan akan menyubur sajak-sajak ini
Sebagai kekuatan di luar badai
Dan perlawanan di dalam penjara angin
Yang bergaris pada bilik nurani sendiri

Mulakanlah kawan
Lawanlah meskipun bermula perlahan
Di akhir setiap perjuangan
Akan datang sejarah Kemenangan!

Han, JB, 10/17